Isnin, 27 Februari 2012

MENGHARGAI SEBUAH UJIAN


Segala puji bagi Allah SWT di atas nikmat-Nya yang dipinjamkan kepada kita.  Selawat dan salam bagi baginda Rasulullah SAW sebagai rahmat bagi seluruh alam. Tidak lupa juga buat para keluarganya, sahabat-sahabatnya. Syukur ke hadrat ilahi diberi kekuatan pada ana untuk berpeluang mencoretkan satu lagi perkongsian dengan sahabat-sahabat ana sekalian.

Hidup ini penuh dengan ujian yang telah ditetapkan oleh Allah SWT kepada hamba-hamba yang dikehendakinya. Kali ini ana mahu kongsikan bagaimana kita mengawal hati ketika kita diundang pelbagai dugaan. Pedih sunggih hati ini ketika kita dilanda ujian yang tidak diduga pilu sungguh jiwa ini merintih sedih mengenang diri yang dirundung malang.

Air mata hati ini berjuraian jatuh mengiringi sedih perasaan yang tidak tertanggung bebannya lagi. Sedih yang dialami tidak dapat diucap dengan kata-kata. Jika diluahkan kepada manusia dengan seribu daya pun pasti hanya mereka mampu menadah telinga dan melontarkan buah rasa buat pemujuk jiwa yang kering ketandusan. Hanya diri ini yang mengerti. Namun Allah SWT berjuta kali lebih memahami dan mendalami isi hati ini berbanding diri ini sendiri.

Namun mengapa sukar untuk memujuk diri ini, tika ditimpa ujian begini. Pemilik hati kerdil ini payah untuk terus pasrah dan reda berbanding pantas sahaja berputus asa dan lebih rela melayan sebak di dada. Dalam islam kita sepatutnya memahami disebalik ujian ada hikmah yang terselindung. Hikmah itu perlu dicari  baru ditemui manisnya ujian yang menimpa. Namun ujian yang menjengah sering dianggap pengusut jiwa bukan tanda sayang daripada ilahi.
Akal yang dangkal sering menggambarkan ujian itu sebuah derita. Sebab itu ujian yang tiba  umpama langit menghempap kepala. Malang sungguh jiwa ini kerana tidak mengenal pencipta. Kita sering lupa apa yang ditakdirkan Allah pasti ada baiknya. Itu janji Allah. Janji Allah tidak mungkin dusta. Seperti sesebuah produk, jika ingin diketahui mutunya harus diuji sebelum ia selamat untuk digunakan. Produk itu perlu melalui ujian menepati piawaian yang ditetapkan. Begitulah insan. Kehidupan kita mempunyai syariat dan piawaian yang perlu ditepati barulah terhasilnya Mukmin Sejati.! Jika tidak melepasi piawaian ujian, jadilah Muslim itu sebuah produk yang tidak bermutu dan tidak tahan lasak. Justeru Mukmin Sejati harus diuji.!

Seperti Rasulullah s.a.w liku-liku hidupnya dipenuhi ujian. Pada masa yang sama Allah begitu cinta kepada Baginda sehingga dinobatkan sebagai kekasih Allah . Masya Allah! Sebab itulah ujian bukan tanda benci dan nista tetapi tanda cinta. Ia kayu ukur keimanan seorang muslim. Yakinlah ! Mukmin yang sejati selalu bersyukur apabila ditimpa kesusahan dan bersabar apabila ditimpa kemudaratan.


Mutiara kata untuk sahabat-sahabat ku :-

Musibah yang harus ditakuti oleh manusia di dunia boleh diringkaskan menjadi lima. Pertama, sakit ketika mengembara, kedua miskin ketiak tua, ketiga maut pada usia muda, keempat buta setelah melihat, kelima dilupakan orang yang disanjungi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan