Powered By Blogger

Sabtu, 24 Mac 2012

Berlumba-lumba Mendahului Salam.



Segala puji bagi Allah SWT di atas nikmat-Nya yang dipinjamkan kepada kita.  Selawat dan salam bagi baginda Rasulullah SAW sebagai rahmat bagi seluruh alam. Tidak lupa juga buat para keluarganya, sahabat-sahabatnya. Syukur ke hadrat ilahi diberi kekuatan pada ana untuk berpeluang mencoretkan satu lagi perkongsian dengan sahabat-sahabat ana sekalian. 

Mari kita sama-sama menghayati sepotong hadith ini :-

“Hak seorang Muslim atas Muslim yang lain itu ada enam. Antaranya, jika kamu bertemu dengannya hendaklah kamu mengucapkan salam.” (Riwayat Muslim)

Jika kita soroti sirah rasulluah s.a.w kita akan dapati bahawa member salam terlebih dahulu adalah salah satu cirri yang ada pada diri rasulullah s.a.w. Baginda tidak pernah gagal untuk mengucapkan salam terlebih dahulu berbanding orang lain. Setiap kali bertemu dengan seseorang, baik orang dewasa mahupun kanak-kanak, dari dekat ataupun jauh Baginda pasti lebih dahulu memberi salam.

Terdapat beberapa orang para sahabat yang ingin berusaha menjadi orang pertama yang member salam kepada rasulullah s.a.w., tetapi tidak berjaya. Ada suatu ketika, mereka bersembunyi di laluan yang biasa Baginda lalui. Apabila melihat dari jauh Baginda akan melalui jalan tersebut, mereka pun bersiap sedia untuk mengucapkan salam.

Namun, sebelum sampai di tempat persembunyian mereka, Baginda lebih dahulu berkata “Assalamualaikum, wahai orang yang berada di belakang dinding. Aku tidak mahu menjadi orang yang lambat dalam memberi salam sehingga ke hembusan nafasku yang terakhir.” Mereka yang bersembunyi pun keluar dari tempat persembunyian mereka dengan perasaan malu sambil menjawab salam Rasulullah. 

Mengapakah ada kalanya kita teragak-agak atau ragu-ragu untuk memberi salam kepada seseorang terutamanya kepada orang yang tidak kenali? Sedangkan kita tahu dan pasti ada ganjaran yang akan kita peroleh. Tidakkah kita mahu semua itu? Mudah bukan? Tanpa modal dan tenaga untuk melaksanakannya. 


Berlumba-lumbalah dalam memberi salam dengan ikhlas tanpa ada niat yang lain kerana ia salah satu cara menjalin ukhuwah dan persaudaraan.