Powered By Blogger

Isnin, 27 Februari 2012

MENGHARGAI SEBUAH UJIAN


Segala puji bagi Allah SWT di atas nikmat-Nya yang dipinjamkan kepada kita.  Selawat dan salam bagi baginda Rasulullah SAW sebagai rahmat bagi seluruh alam. Tidak lupa juga buat para keluarganya, sahabat-sahabatnya. Syukur ke hadrat ilahi diberi kekuatan pada ana untuk berpeluang mencoretkan satu lagi perkongsian dengan sahabat-sahabat ana sekalian.

Hidup ini penuh dengan ujian yang telah ditetapkan oleh Allah SWT kepada hamba-hamba yang dikehendakinya. Kali ini ana mahu kongsikan bagaimana kita mengawal hati ketika kita diundang pelbagai dugaan. Pedih sunggih hati ini ketika kita dilanda ujian yang tidak diduga pilu sungguh jiwa ini merintih sedih mengenang diri yang dirundung malang.

Air mata hati ini berjuraian jatuh mengiringi sedih perasaan yang tidak tertanggung bebannya lagi. Sedih yang dialami tidak dapat diucap dengan kata-kata. Jika diluahkan kepada manusia dengan seribu daya pun pasti hanya mereka mampu menadah telinga dan melontarkan buah rasa buat pemujuk jiwa yang kering ketandusan. Hanya diri ini yang mengerti. Namun Allah SWT berjuta kali lebih memahami dan mendalami isi hati ini berbanding diri ini sendiri.

Namun mengapa sukar untuk memujuk diri ini, tika ditimpa ujian begini. Pemilik hati kerdil ini payah untuk terus pasrah dan reda berbanding pantas sahaja berputus asa dan lebih rela melayan sebak di dada. Dalam islam kita sepatutnya memahami disebalik ujian ada hikmah yang terselindung. Hikmah itu perlu dicari  baru ditemui manisnya ujian yang menimpa. Namun ujian yang menjengah sering dianggap pengusut jiwa bukan tanda sayang daripada ilahi.
Akal yang dangkal sering menggambarkan ujian itu sebuah derita. Sebab itu ujian yang tiba  umpama langit menghempap kepala. Malang sungguh jiwa ini kerana tidak mengenal pencipta. Kita sering lupa apa yang ditakdirkan Allah pasti ada baiknya. Itu janji Allah. Janji Allah tidak mungkin dusta. Seperti sesebuah produk, jika ingin diketahui mutunya harus diuji sebelum ia selamat untuk digunakan. Produk itu perlu melalui ujian menepati piawaian yang ditetapkan. Begitulah insan. Kehidupan kita mempunyai syariat dan piawaian yang perlu ditepati barulah terhasilnya Mukmin Sejati.! Jika tidak melepasi piawaian ujian, jadilah Muslim itu sebuah produk yang tidak bermutu dan tidak tahan lasak. Justeru Mukmin Sejati harus diuji.!

Seperti Rasulullah s.a.w liku-liku hidupnya dipenuhi ujian. Pada masa yang sama Allah begitu cinta kepada Baginda sehingga dinobatkan sebagai kekasih Allah . Masya Allah! Sebab itulah ujian bukan tanda benci dan nista tetapi tanda cinta. Ia kayu ukur keimanan seorang muslim. Yakinlah ! Mukmin yang sejati selalu bersyukur apabila ditimpa kesusahan dan bersabar apabila ditimpa kemudaratan.


Mutiara kata untuk sahabat-sahabat ku :-

Musibah yang harus ditakuti oleh manusia di dunia boleh diringkaskan menjadi lima. Pertama, sakit ketika mengembara, kedua miskin ketiak tua, ketiga maut pada usia muda, keempat buta setelah melihat, kelima dilupakan orang yang disanjungi.

Sabtu, 25 Februari 2012

SETAJAM MATA PEDANG



Segala puji bagi Allah SWT di atas nikmat-Nya yang telah sempurna segala kebaikan . Selawat dan salam untuk Rasulullah SAW sebagai rahmat bagi seluruh alam. Tidak lupa juga buat para keluarganya, sahabat dan siapa saja yang memperolehi hidayah daripada ajaran baginda.

Sudah lama ana tidak dapat meluangkan masa untuk update blog, semua ini berkaitan dengan masa. Didalam Al-quran dan As-Sunnah menjelaskan betapa pentingnya masa dan betapa besar rahmat Allah SWT yang terkandung dalamnya. Firman Allah SWT dalam surah Ibrahim ayat 33-34 menjelaskan :-
 
dan dia telah menundukkan (pula) bagimu matahari dan bulan yang terus-menerus beredar (dalam orbitnya) dan telah menundukkan bagimu siang dan malam. Dan dia telah memberikan kepadanya (keperluan) dari segala apa yang kamu mohonkan kepada-Nya. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, tidaklah kamu dapat menentukan bilangannya. Sesungguhnya manusia itu sangat zalim dan sangat mengingkari (nikmat Allah).”

Dalam ayat lain firman Allah SWT dalam surah Al-furqan ayat 62 menjelaskan :-

“dan dia (pula) ayang menjadikan malam dan siang silih berganti bagi orang yang ingin mengambil pelajaran atau orang bersyukur.”

Maksud ayat ini ialah Allah SWT telah menjadikan malam sebagai pengganti siang dan menjadikan siang sebagai pengganti malam. Sesiapa yang kehilangan sesuatu, dia akan menggantinya dengan perkara yang lebih baik atau menggantikan pada hari yang lain.

Allah SWT telah menjelaskan betapa pentingnya masa didalam Al-quran yang boleh kita lihat dalam kebanyakkan surah awal seperti demi malam dan siang, demi fajar, demi masa dhuha dan demi masa.
Sering kali kita mengeluh, masa yang diberikan tidak mencukupi, tetapi pernahkah kita bertanya bagaimana kita mengisi masa kita. Sepanjang hidup kita hingga sekarang pernah tak kita mengucap syukur ke hadrat ilahi atas kesempatan waktu yang telah dipinjamkan kepada kita. Tetapi zaman kini manusia begitu ego, dan tidak pernah sama sekali mengucapkan syukur atas kesempatan yang diberi. Bahkan mereka merasakan masa yang diberi tidak mencukupi.

Disini ana ingin berkongsi  hasil daripada pembaca dari sebuah buku yang menyatakan “masa muda adalah bahagian dari umur seseorang yang masih mempunyai kekuatan dia antara dua kelemahan iaitu kelemahan kanak-kanak dan kelemahan tua”

Seperti Firman Allah SWT dalam surah ar-Rum ayat 54 :- 

“Allah SWT yang telah menciptakan kamu sekalian dalam keadaan lemah lalu menjadikan kamu dari keadaan lemah itu menjadi kuat, lalu menjadikan dari keadaan kuat itu lemah dan beruban.”

Dalam syariat islam terdapat makna besar iaitu pentingnya masa dan nilai masa pada setiap sudut dan bahagiannya. Ia membina kesedaran manusia supaya mereka memerhati pentingnya masa seiring dengan perubahan alam , putaran orbit, perjalanan matahari dan bintang-bintang serta pergantian siang dan malam.

Ketika malam mengambil tempat dan langit menguning di ufuk timur, seorang hamba melaungkan azan memperingati orang-orang yang lupa dan membangunkan orang-orang yang sedang tidur supaya berdiri mengiringi fajar yang bersih dari tangan Allah SWT.

“mari melakukan solat, marilah menuju kejayaan”

“Solat itu lebih baik dari tidur”


Ribuan lisan yang berzikir, hati yang bersyukur dan tangan-tangan yang berwuduk menjawab panggilan itu dengan berkata. “Benar Engkau, Engkau memang Benar”

Begitulah seterusnya seiring dengan putaran masa dan pergantian siang dan malam, kita menepati janji abadi kita pada Allah SWT…



Sekian……

Sabtu, 4 Februari 2012

HIDUP INI PERJUANGAN.


Asslamualaikum

Segala puji dan syukur ke hadrat ilahi yang maha pengasih lagi maha penyayang atas rahmat serta hidayahnya memberikan kekuatan kepada ana selesai menulis blog  ini supaya dapat disampai dan dikongsikan dengan sahabat-sahabat sekalian.

Cuba kita renungkan sedar atau tidak sedar kita sudah pon masuk dan hidup dalam zaman yang penuh pancaroba. Jika kita dapat lihat sekarang, manusia kini mempunyai pelbagai ragam yang amat membimbangkan. Cara manusia memandang dirinya semakin pudar. Sering kali berlaku dimana mereka terlalu mudah menganggap dirinya tidak berguna, malah muncul perasaan mahu mengakhiri hidup kerana ada waktu-waktunya mereka merasakan hidup ini sudah tidak bermakna lagi.

Daripada pada pembacaan yang ana perolehi dari satu buku  yang bertajuk MENCARI MAKNA HIDUP karangan Parlindungan  Marpaung menyatakan “ramai manusia kini cenderung untuk bersahabat dengan musuh yang ada dalam dirinya sendiri hingga kemana saja dia melangkah, musuh itu sentiasa ada disampingnya”. Apa yang cuba disampaikan disini sewaktu munculnya perasaan dan dorongan untuk melakukan kebaikan dalam hati, datang pula halangan yang mengangu niat  baik tersebut. Inilah yang dikatakan musuh yang datang dari dalam diri manusia itu sendiri.

Bagi menyingkap perkara ini kadang-kadang manusia perlu tegas dengan dirinya sendiri. Dia perlu melawan kemahuan hatinya. Contoh yang dapat ana ceritakan disini, semasa mahu bangun daripada tidur pada waktu subuh, ada kemahuan ‘lain’ yang cuba menarik selimut dan tidur kembali. Bukankah ini tarikan yang cenderung menjadikan kita tidak dapat berkembang dengan baik? . Itulah sebabnya perkara utama adalah bagaimana kita untuk menerima keadaan ini sekali gus ‘melawan’ tarikan-tarikan itu yang membuat kita tidak dapat berkembang dengan baik dan sempurna.

Hidup ini merupakan suatu perjuangan. Tidak ada kejayaan yang dapat diraih tanpa perjuangan, tiada hasil dalam hidup tanpa keringat dan air mata. Dalam menempuhi dunia yang penuh dengan pancaroba kita perlu ada kekuatan untuk ‘melawan’ hawa nafsu dan godaan syaitan yang menggoda kita supaya kita tidak tewas kepada mereka.

Disini ana ingin petik salah satu kata-kata Thomas Alva Edison yang menyatakan “kejayaan adalah 1 peratus kepintaran dan 99 peratus adalah usaha keras”. Yang bermaksud semakin kita berjuang untuk hidup, semakin hampir kita menemukan erti kehidupan yang sebenarnya. Manusia yang mempunyai cara pandangan yang optimis dan meletakkan perjuangan hidup sebagia daripada dinamik hidup yang berputar, melihat setiap hari hidup kian berisi dan bererti serta membuahkan kebaikan kepada orang di sekelilingnya.

Ibarat seuncang teh, ia hanya mengeluarkan sarinya selepas di celup kedalam air panas. Demikianlah halnya hidup ini, kadangkala merasai kepayahan dan pahit getir kehidupan sebelum memahami erti kehidupan yang sebenarnya.


Mutiara kata untuk sahabatku diluar sana..

Jangan mengukur dan mengeluh betapa tingginya sebuah gunung sebelum cuba mendakinya. Kerana selepas berjaya mencapainya puncaknya, kita pasti mengatakan betapa rendahnya gunung itu..

Sekian untuk kali ini moga kalian dapat manfaat darinya.. (^_^)V