Powered By Blogger

Sabtu, 20 Februari 2010

Mengingati Allah Membuat Hati Tenteram

“(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan "zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia”

(QS. Ar-Ra’d: 28)

Kejujuran itu kekasih Allah. Keterusterangan merupakan sabun pencuci hati. Pengalaman itu bukti. Dan seorang penunjuk jalan tidak akan membohongi rombongannya. Tidak ada satu pekerjaan yang lebih melegakan hati dan lebih agung pahalanya, selain berzikir kepada Allah.

“Oleh itu ingatlah kamu kepada-Ku(dengan mematuhi hukum dan undang-undang- Ku) supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan”

(QS. Al-Baqarah: 152)

Berzikir kepada Allah adalah syurga Allah di bumi-Nya. Maka siapa yang tidak pernah memasukinya, ia tidak akan dapat memasuki syurga-Nya di akhirat kelak. Berzikir kepada Allah merupakan penyelamat jiwa dari pelbagai kerisauan, kesusahan, kekesalan dan kegoncangan. Dan zikir merupakan jalan pintas paling mudah untuk meraih kernenangan dan kebahagian hakiki. Untuk melihat faedah dan manfaat zikir, cuba perhatikan kembali beberapa pesan wahyu Allah. Dan cubalah mengamalkannya pada hari-hari anda, nescaya anda akan mendapatkan kedamaian hati dan ketenangan dalaman.

Dengan berzikir kepada Allah, gumpalan ketakutan, kekacauan, kecemasan dan kesedihan akan lenyap. Lebih dari itu, dengan berzikir kepada- Nya segunung tompokan beban kehidupan dan permasalahan hidup akan runtuh dengan sendirinya.

Tidak menghairankan bila orang-orang yang selalu mengingat Allah sentiasa bahagia dan tenteram hidupnya. Itulah yang memang seharusnya terjadi. Adapun yang sangat menghairankan adalah bagaimana orang-orang yang lalai dari berzikir kepada Allah itu yang malah menyembah berhala-berhala dunia.

“Makhluk-makhluk itu tetap akan mati, bukanlah kekal hidup dan mereka tidak mengetahui bilakah masing-masing akan dibangkitkan (menerima balasan)”

(QS. An-Nahl: 21)

Wahai orang yang mengeluh kerana sukar tidur, yang menangis kerana sakit, yang bersedih kerana satu tragedi dan yang berduka kerana satu musibah, sebutlah nama Allah yang kudus.

“Adakah engkau mengetahui sesiapa yang senama dan sebanding dengan-Nya?”

(QS. Maryam: 65)

Semakin banyak anda mengingati Allah, fikiran anda akan semakin terbuka, hati anda semakin tenteram, jiwa anda semakin bahagia dan nurani anda semakin damai sentosa. Hal itu kerana dalam mengingati Allah terkandung nilai-nilai ketawakalan kepada-Nya, keyakinan penuh kepada- Nya, kebergantungan diri hanya kepada-Nya, kepasrahan kepada-Nya, berbaik sangka kepada-Nya dan pengharapan kebahagiaan dari-Nya. Dia sentiasa dekat ketika si hamba berdoa kepada-Nya, sentiasa mendengar ketika diminta, dan senantiasa mengabulkan jika dimohon.

Rendahkan dan tundukkan diri anda di hadapan-Nya, lalu sebutlah secara berulang-ulang nama-Nya yang indah dan penuh berkat itu dengan lidah anda sebagai penjelmaan dari ketauhidan, pujian, doa, permohonan dan permintaan ampunan anda kepada-Nya. Dengan begitu, nescaya anda di atas berkat kekuatan dan pertolongan dari-Nya akan mendapatkan kebahagiaan, ketenteraman, ketenangan, cahaya penerang dan kegembiraan.

“Oleh itu Allah memberikan mereka pahala dunia (kemenangan dan nama yang harum), dan pahala akhirat yang sebaik-baiknya (nikmat syurga yang tidak ada bandingannya)”

(QS. Ali 'Imran: 148)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan