Powered By Blogger

Isnin, 22 Mac 2010

Ambil Beratlah Dengan Sembahyang

“Wahai orang-orang yang beriman, mintalah bantuan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan)) dengan sabar dan dengan (mengerjakan ) sembahyang”
(QS. Al-Baqarah: 153)
Jika anda diliputi ketakutan, dihimpit kesedihan dan dicekik kerisauan, maka segeralah bangkit untuk melakukan sembahyang, nescaya jiwa anda akan kembali tenteram dan tenang. Sesungguhnya, sembahyang itu atas izin Allah sangat berkesan untuk membuang kesedihan dan kerisauan.
Setiap kali dirundung kegelisahan, Rasulullah s.a.w. selalu meminta kepada Bilal ibn Rabbah, "Tenangkanlah kami dengan sembahyang, wahai Bilal." (Al-Hadits)
Demikianlah sembahyang benar-benar merupakan penyejuk hati dan sumber kebahagian bagi Rasulullah s.a.w.
Saya telah banyak membaca sejarah hidup beberapa tokoh kita. Dan umumnya, mereka sama dalam satu hal: saat dihimpit banyak persoalan sukar dan menghadapi banyak cubaan, mereka meminta pertolongan kepada Allah dengan sembahyang yang khusyu'. Begitulah mereka mencari jalan keluar, sehingga kekuatan, semangat dan tekad hidup mereka pun pulih kembali.
Sembahyang Khauf diperintahkan untuk dikerjakan pada saat-saat genting. Iaitu ketika nyawa terancam oleh hunusan pedang lawan yang dapat menyebabkan kekalahan. Ini merupakan isyarat bahwa sebaik-baik penenang jiwa dan penentram hati adalah sembahyang yang khusyu'.
Bagi generasi umat manusia yang sedang banyak menderita penyakit kejiwaan seperti saat ini, hendaklah rajin mengenal masjid dan merapatkan keningnya di atas lantai tempat sujud dalam usaha meraih redha dari Tuhannya. Dengan begitu, nescaya ia akan selamat dari pelbagai himpitan bencana. Akan tetapi, bila ia tidak segera mengerjakan kedua hal tadi, nescaya air matanya akan membakar kelopak matanya dan kesedihan akan menghancurkan urat sarafnya. Maka menjadi semakin jelas bahawa seseorang tidak memiliki kekuatan apa pun yang dapat menghantarkannya kepada ketenangan dan ketenteraman hati selain sembahyang.
Salah satu nikmat Allah yang paling besar jika kita mahu berfikir adalah bahawa sembahyang wajib lima waktu dalam sehari semalam dapat menebus dosa-dosa kita dan mengangkat darjat kita di sisi Tuhan kita. Bahkan sembahyang lima waktu juga dapat menjadi ubat paling mujarab untuk mengubati pelbagai kekalutan yang kita hadapi dan ubat yang sangat berkesan untuk pelbagai macam penyakit yang kita tanggung. Lebih dari itu, sembahyang mampu meniupkan ketulusan iman dan kejernihan iman ke dalam relung hati, sehingga hati pun selalu ridha dengan apa saja yang telah ditentukan Allah.
Berbeza dengan orang yang lebih senang menjauhi masjid dan meninggalkan sembahyang. Mereka nescaya akan hidup dari satu kesusahan ke kesusahan yang lain, dari goncangan jiwa yang satu ke goncangan jiwa yang lain dan dari kesengsaraan yang satu ke kesengsaraan yang lain-tiada henti-hentinya.
“Dan (sebaliknya) orang-orang yang kafir maka kecelakaanlah bagi mereka, dan (Allah) mensia-siakan amal-amal mereka”
(QS. Muhammad: 8)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan