Powered By Blogger

Rabu, 1 Disember 2010

Jadilah Pelajar Muslim Yang Hebat~!!

Bismillah walhamdulillah...Selawat dan salam keatas Insan Mulia sepanjang zaman Rasulullah SAW.

JADILAH MAHASISWA ISLAM YANG HEBAT!

Islam menggalakkan umatnya sentiasa penuh karisma yang positif, profesional, berperibadi mulia dan berakhlak dengan akhlak Islamiah. Hal ini sangat penting untuk mencerminkan imej Islam yang suci lagi murni. Penampilan diri yang positif mencerminkan hati nurani seseorang.

Menurut kajian, orang yang kotor rumahnya, kotor jualah hatinya. Begitulah juga sebaliknya. Jika penampilannya mantap, seluruh hasil kerja yang ditunjukkan biasanya akan memuaskan hati semua pihak. Contohnya kalau kita berjanji dengan seseorang, akan ditepati dan tidak akan membuatkan orang itu tertunggu-tunggu. Jika semua itu dipraktikkan, pasti semua orang suka bekerjasama dengan kita.

Karisma yang positif ditunjukkan oleh Rasulullah dan para sahabat ketika mereka mahu menziarahi sanak saudara di Makkah. Baginda bersabda yang bermaksud:

"Sesungguhnya kamu akan pergi menemui saudara-saudaramu. Oleh sebab itu, perbaikilah ar-rihal (alat kelengkapan kenderaan yang digunakan ketika menunggang kuda) dan baguskan semua pakaian kamu sehingga kamu kelihatan menarik, hebat dan berhemah dalam kalangan manusia kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada yang busuk dan buruk."

Yakin dengan Allah!

Sebagai hamba Allah, kita perlu yakin bahawa sesuatu yang berlaku adalah dengan izin Allah terlebih dahulu. Namun, pada masa yang sama kita perlu berusaha, meminta dan memohon daripada Allah segala yang terbaik buat diri sendiri. Itulah rahsia kehebatan yang tidak mungkin dimiliki oleh orang bukan Islam.

Meskipun manusia mampu mengawet dan membuatkan khazanah otak orang yang kononnya genius sekalipun, tetapi Allah yang sebenarnya memberikan keizinan itu.Jadi orang yang dianggap hebat dan bijak tadi tidak layak mencapai tahap kehebatan yang hakiki. Oleh sebab itu, orang yang hebat di sisi Allah sentiasa tawaduk, takut dan cinta sepenuh jiwa dan raga kepada Tuhannya, Allah S.W.T.

Tegasnya orang yang hebat ialah orang yang menyerahkan sepenuh hati dan mindanya kepada Allah S.W.T. tanpa keraguan. Padanya dia masih belum dianggap hebat kerana selain berusaha dia menyerahkan sepenuh hati dan minda kepada Ilahi.

Jadi, jangan takut untuk gagal. Tanpa kegagalan, kita mungkin tidak akan menghargai nikmat kejayaan. Jangan takut untuk buat silap. Belajar daripada kesilapan, bukan buat kesilapan yang sama. Itu semua perencah dalam menjadikan kita mahasiswa Islam yang hebat.

Suburkan jiwa dengan sifat pemaaf~

Kehidupan di universiti, sudah pasti kadang-kadang kita mempunyai masalah dengan kawan-kawan. Jangan jadikan ia sebagai penyebab hati kita makin kotor kerana dendam serta tidak mahu meminta dan memberi maaf. Siapa tahu dek kerana kerendahan hati itu, ianya boleh jadi salah satu usaha dakwah kepada orang lain.

Orang yang mudah meminta maaf dan mudah pula memberi maaf kepada orang yang berbuat salah kepadanya adalah orang yang hebat. Mengapa? Hal ini kerana tidak ramai yang sanggup menundukkan perasaan ego dan sombong untuk berbuat demikian.

Walaupun pada pandangan manusia, orang yang pemaaf ini tiada apa-apa keistimewaannya, tetapi lama-kelamaan insan pemaaf akan dipandang tinggi oleh manusia. Hal ini ditunjukkan sendiri oleh junjungan Nabi Muhammad S.A.W. yang mudah memaafkan manusia yang berbuat jahat kepada baginda.

Sikap pemaaf ini hanya dimiliki oleh jiwa yang bersih dan suci. Orang yang pemaaf mempunyai hati yang kaya, kerana ia tidak ambil hati terhadap kata-kata dan perbuatan orang lain kepadanya. Lantaran kekayaan jiwa yang memenuhi hatinya, maka perbuatan jahat orang lain terhadapnya tidak memberi kesan kepada hatinya. Yang penting bagi insan pemaaf ini ialah sifat berkasih sayang sesama manusia.

Darjat yang dimiliki orang pemaaf sebenarnya telah diangkat tinggi di sisi Allah S.W.T.Dalam kerendahan hati ada keluhuran budi, dalam kemiskinan harta ada kekayaan jiwa. Hidup ini lebih indah jika ada sifat bermaafan antara kita.

Bagaimana hendak menjadi seorang yang pemaaf?

1) Tidak perlu hendak menang setiap masa.

2) Memikirkan bahawa orang lain juga mempunyai masalah.

3) Mengingati bahawa Allah mengangkat darjat orang yang suka meminta maaf dan memaafkan orang lain.

4) Berdoa supaya disabarkan hati.

5) Bersangka baik.

6) Memikirkan kebaikan yang telah dibuat oleh sahabat kita.

Sentiasalah muhasabah diri...

Sayidina Umar berpesan, "Hisablah diri kamu sebelum kamu dihisabkan." Demikian sikap orang yang hebat, dia tidak akan menganggap muhasabah diri atau post-mortemaktiviti sehariannya sesuatu yang remeh-temeh. Maka dia sentiasa bermuhasabah setiap yang dilakukan dari awal pagi hingga tidur, adakah ia selari dengan matlamat hidup menurut syariat.

Oleh sebab itu, muhasabahkanlah apa yang kita lakukan itu dengan rutin harian seorang yang bergelar insan hebat. Orang yang cemerlang akan sentiasa bermuhasabah akan amalannya kerana bimbang terseleweng daripada niat suci yang asal. Samalah juga situasinya kepada kita sebagai seorang mahasiswa Islam. Adakah kita menuntut ilmu kerana Allah S.W.T. atau kerana CGPA dan segulung ijazah semata-mata? Mahasiswa Islam yang hebat bukan hanya dengan CGPA kelas pertama tetapi pemikiran dan gaya hidup juga perlu kelas pertama.

Muhasabah diri amat penting dalam hidup seorang Muslim, supaya hari-hari yang dilalui menjanjikan hari yang lebih baik daripada sebelumnya. Sesungguhnya umat Islam akan cemerlang jika menyedari diri mereka berada di tahap mana. Dalam keadaan itu, mereka akan lebih melihat diri sendiri terlebih dahulu sebelum menuding jari kepada orang lain. Jika kita gagal, jangan salahkan pensyarah yang mengajar tak best. Jangan salahkan orang lain sebelum check dan koreksi diri sendiri.

Jangan paksa orang lain menerima pendapat kita...

"Rambut sama hitam, hati lain-lain." Begitulah bunyi peribahasa Melayu untuk menunjukkan perbezaan pendapat, hati, perasaan dan lain-lain antara manusia. Memang itulah realitinya, Allah mencipta setiap manusia berlainan antara satu sama lain.

Seseorang itu tidak harus mendesak atau memaksa orang lain untuk menerima dan bersetuju dengan pemikiran yang kita bawa. Malah dalam doktrin Islam kita diajar, "Tiada paksaan bagi orang bukan Islam untuk memeluk agama Islam." Tetapi perlu difahami bahawa sekali seseorang itu telah memeluk Islam, tiada lagi persoalan "Tiada paksaan untuk mematuhi perintah Allah."

"Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam)" (Surah Al Baqarah, ayat 256)

Orang yang suka mendesak orang lain menerima pendapatnya, tidak akan dihormati orang lain, malah akan diumpat dan dicela. Sebaliknya berbaik sangka dan meraikan pendapat orang lain menunjukkan pengorbanan emosi dan hati yang amat tinggi. Namun, untuk meraikannya perlu ada batas tertentu. Yakni ia mestilah tidak bertentangan dengan syariat dan adab-adab Islam. Kaedah usul fiqh ada menyebut, "Apa yang baik itu adalah apabila syarak mengatakan baik dan yang buruk itu adalah sesuatu yang dikatakan buruk oleh syarak."

Sebagai mahasiswa Islam, kita bukan sahaja hidup untuk belajar dan exam tetapi tugas kita sebagai khalifah Allah adalah yang lebih utama. Mahasiswa adalah antara golongan yang paling lantang menyuarakan pendapat. Suarakanlah dengan bijaksana dan berhikmah. Teruskanlah menyampaikan dengan kebenaran dan kesabaran kerana yang membuatkan orang nak terima atau tidak adalah petunjuk daripada Allah S.W.T.

Begitulah antara kriteria-kriteria dalam usaha menjadi mahasiswa Islam yang hebat. Kita sudah tahu. Sekarang tinggal untuk kita mahu pula. InsyaAllah, kemampuan itu Allah akan bagi asalkan kita usaha bersungguh-sungguh. Sama-samalah kita berusaha ke arah menjadi mahasiswa Islam yang hebat, dunia dan akhirat. Ameen...

Nota kaki: Adaptasi daripada artikel oleh Dato' Dr Haji Mohd Fadzilah Kamsah.

"Seandainya mulut saja mengaku global, tetapi keglobalannya sehingga tidak mengendahkan dosa-dosa kecil, globalnya hanya di dunia dan tidak di akhirat"

Tiada ulasan:

Catat Ulasan