Isnin, 12 Oktober 2009

SOLAT

Solat merupakan tiang agama:

Jika iman diibaratkan akar tunjang bagi pokok, solat pula ialah batangnya. Kalau hendak mendirikan sebuah rumah, perlu ada tapak dan tiang-tiang serinya. Rumah tidak akan dapat dibangunkan kalau tidak ada tiang serinya. Begitulah Islam, tidak akan dapat dibangunkan jika solat tidak didirikan. Sebab itu dikatakan, solat adalah tiang agama.

Sesiapa yang mendirikan solat, maka dia telah mendirikan agama. Sesiapa yang meninggalkan solat, maka dia telah meruntuhkan agama. Jadi, sekiranya kita memperumpamakan Islam itu sebagai rumah, maka Islam yang global itu umpama rumah yang serba lengkap. Mempunyai atap,tiang, dinding dan ada segalanya, maka tiang kepada Islam itu adalah solat.

Sekiranya kita hendak membina Islam yang syumul, solat merupakan perkara pertama yang harus kita perkemaskan. Segala kerja kita dalam apa-apa bidang sekalipun sekiranya solat tidak kemas dan dicuaikan, maka kerja-kerja kita itu tidak membuahkan hasil yang baik. Kita sibuk dengan kerja, peranan dan khidmat sedangkan waktu itu kita semakin cuai dengan solat. Ertinya kita tertipu dalam hidup.

Solat merupakan amalan yang mula-mula dihisab di akhirat:

Solat merupakan perkara pertama yang diperiksa di akhirat. Jika solat baik dan sempurna, maka mudahlah pemeriksaan pada amalan-amalan selepasnya. Jika ia baik, baiklah amalan-amalan yang lain. Sebaliknya, jika solat tersangkut, maka tersangkutlah amalan-amalan yang lain.

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda yang maksudnya :
"Sesungguhnya yang paling mula-mula dihisab pada seorang hamba di hari Kiamat daripada amalannya ialah solat . Sekiranya solatnya baik, maka dia akan berjaya dan selamat. Sekiranya solatnya rosak, maka dia akan kecewa dan rugi &ldots;.."
(Riwayat At Tirmizi, An Nasaei dan Ibnu Majah ).

Mengandungi ikrar setiap hamba:

Di dalam solat ada ikrar yang dilakukan oleh setiap yang mengerjakannya kepada Allah SWT. Solat yang pertama adalah ikrar yang mula-mula sekali dibuat oleh hamba kepada Tuhannya. Solat yang kedua, ketiga dan seterusnya merupakan ikrar pembaharuan sahaja. Inilah kehebatan solat. Kerana sehari semalam ada 5 kali ikrar yang dibuat sebagai taat setia kepada Tuhan.

Ikrar itu jelas di dalam doa iftitah iaitu ketika mengucapkan :
"Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku untuk Allah Tuhan sekalian alam"

Menggambarkan amalan-amalan para malaikat:

Jumlah malaikat yang terlalu banyak itu beribadah kepada Allah dengan cara mereka yang tersendiri. Ada yang asyik sujud, ada pula yang asyik rukuk dan lain-lain. Para malaikat ini kekal dengan satu-satu amalan itu dengan istiqamah. Yang takbir, takbir sahaja. Begitulah yang bertasbih, asyik bertasbih sahaja. Tetapi dalam solat, manusia telah melakukan berbagai-bagai amalan para malaikat. Di sinilah kehebatan manusia berbanding dengan malaikat. Amalan manusia walaupun tidak sebanyak para malaikat tetapi kepelbagaiannya mengatasi amalan malaikat.

Bermacam-macam bentuk ibadah:

Dilihat dari bacaannya sahaja, bacaan solat terdiri daripada pelbagai bentuk yang mengandungi zikir, selawat, ayat Quran, hadis dan lain-lain. Bacaan Fatihah, adalah ayat Quran. Bacaan tahayyat diambil daripada hadis. Dalam solat juga ada tasbih, tahmid dan doa.

Melibat seluruh anggota lahir dan batin:
Solat melibatkan banyak anggota lahir dan batin manusia. Rukun Qalbi, Qauli dan Fi'li telah melibatkan hati, akal dan anggota badan manusia. Rukun Qauli misalnya, melibatkan lidah dan akal. Lidah menyebutnya, akal memahaminya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan